Wednesday, May 21, 2014

Travelog Umrah SV 15 March edisi Majalah Mekar



Tatkala juruterbang memberitahu kapal terbang akan mendarat di lapangan terbang Putera Mohammad Abdul Aziz Medinatul Munawwarah, maka, bermulalah kembara 12 hari 11 malam di bumi dimana Rasulullah menegakkan syiar Islam, salah satu daripada 3 Tanah Haram. Usai menyiapkan diri di Hotel Dallah Taibah, saya bersama 12 ahli keluarga yang lain bertolak menuju ke Masjid. Madinah ketika itu merupakan penghujung musim sejuk kering dengan suhu 17 darjah. Bermulalah episod bibir dan jari pecah, tumit merekah L
Masjid Nabawi sungguh mengagumkan. Payung-payung gergasi tersergam indah dan keluasannya Masjid Nabawi berkeluasan melebihi SMKTA dan saya pun belum sempat khatam selok-belok dan hanya pernah memasuki Masjid melalui pintu Uthman Al Affan(gate 21,22,23,24). Sebelum memasuki, beg tangan wanita akan diperiksa oleh polis wanita yang bertugas di setiap pintu Masjid. Kadang-kala hampir tergelak mendengar polis Arab berbahasa Indonesia(majoriti dari Asia merupakan warga Indonesia); “ibu-ibu, bukakan tas tangannya.”.
                Ziarah Raudhah merupakan ziarah yang paling menuntut kesabaran yang tinggi. Jemaah dari Asia Tenggara akan dikumpulkan di suatu sudut sebelum masuk ke Raudhah. Hal ini mungkin kerana mengelakkan kematian akibat dipijak oleh jemaah dari Tanah Arab kerana saiz mereka lebih besar berbanding saiz orang Asia. Setelah hampir 3 jam menunggu, akhirnya kami dibenarkan masuk. Sebaik sahaja melalui karpet hijau(raudhah dan luar raudhah dipisahkan melalui karpet berwarna hijau dan merah) sedaya mungkin berbaik sangka dek kerana ditolak ditarik oleh jemaah-jemaah dari Indonesia terutamanya yang berebut tempat untuk solat sunat. Akhirnya, saya berpeluang bersolat sunat di sana dan merasai ketenangan yang tak dapat digambarkan. Taman Syurga. Allahuakbar.
                Hari kedua, dibawa melawat ke Masjid Quba’, Masjid Qiblatain(peristiwa dimana Qiblat bertukar arah dari Masjid Aqsa, Palestin ke Masjid Haram, Makkah), medan peperangan Khandaq(parit)Pasar Kurma Uthman b Al Affan,dan ke Jabal Uhud.  Suasana di Pasar Kurma sungguh seronok. Para penjual asyik dengan pembelinya dan pengunjung kebanyakannya akan mencuba semua jenis kurma, coklat yang segar dari kilang juga boleh didapati dengan harga SR40 sekilogram dan kekacang sebelum membelinya. Mutawwif juga berpesan agar kami makan sehingga kenyang sebelum membeli. Pegang sebiji kurma, tanya penjual, “Halal?” sekiranyanya dia menjawab halal, maka teruslah ngap dan beredar ke gerai sebelah. Paling seronok kurma Nabi(peristiwa kurma dari Syurga yang ditanam Rasulullah) kerana berharga SR90 sekilogram.    Setelah mengharungi musim sejuk kering hampir 3 hari di Madinah,tibalah masa berangkat ke Kota Makkah; bagi menunaikan umrah. Setelah Ziarah Wada’, hati ini tidak putus-putus berdoa agar dijemput Allah Swt ke sini lagi. Dan sungguh, saat ini, hati ini memberontak dek kerana rindukan Tanah Haram Madinah. Kami berniat Umrah di Bir Ali, kira-kira 15km dari Tanah Haram Madinah .Sebelum sampai ke Kota Makkah yang memakan masa kira-kira 7 jam, kami singgah di sebuah RnR untuk solat jamak dan qasar maghrib serta Isya’. Dan ini merupakan ujian pertama bagi jemaah kerana petugas Rayhar mendapat panggilan dari jemaah yang telah sampai dahulu bahawa RnR tersebut ketiadaan air.  Lalu kami terpaksa membeli air mineral untuk mengambil wuduk. Suasana ketika itu agak kelam kabut kerana masa diberikan sejam, dan terdapat lebih sepuluh buah bas bersama jemaah masing masing yang ingin bersolat disitu. Tambahan pula, suasana ketika itu amat berdebu(kerana berada di padang pasir) dan semua jemaah berada dalam keadaan ihram(wanita tidak dibenarkan menutup muka). Usai solat dan membeli kebab kami langsung meneruskan perjalanan ke Kota Makkah.
                Selepas membersihkan diri,di Hotel Qasr al Qamar, kami bersama mutawwif menuju ke Masjid Haram kira-kira 180 m dari pintu hotel ke pintu masuk Masjid. Suasana ketika itu sungguh menyenangkan walaupun di lobi saya terpaksa bergegas naik ke bilik untuk mengambil wudhuk kerana Faiz, sepupu saya, terpijak kaki saya dan saya terlupa bahawa tersentuh antara lelaki dan wanita bagi tawaf adalah sah. Hati ini begitu teruja untuk menjejakkan kaki ke Masjid Haram. SubhanaAllah. Ketika memasuki pintu King Malik, semerbak baunya yang sungguh indah mengiringi. Entah ada jemaah yang pakai minyak wangi semasa ihram ke apa. Dan saat mata memandang Kaabah, sayu sangat rasa hati. HambaMu ini membawa dosa segunung menghadapNya. Ketika tawaf, saya dan keluarga terpisah. Masa tu cuak jugaklah. Teringat pesan kakak sulung di KLIA tempoh hari. Jangan sesat, kalau sesat dengan kakak kedua takpa, sebab dia fasih berbahasa Arab. Tapi Alhamdulillah, selang beberapa saat, terlihat adik sedang bertawaf seorang diri. Relaks je dia. Ketika sedang tawaf, saya terlupa akan doa-doa yang disarankan baca ketika tawaf(sebenarnya boleh je baca doa apa-apa tetapi misalnya di Rukun Yamani disunatkan baca ayat tertentu). Nak dijadikan cerita, terdapat jemaah dari Rusia sedang tawaf berkumpulan. Lelaki. Membacakan doa-doa yang disarankan dengan suara yang agak kuat. Saya pun menarik adik saya ke arah mereka dan tawaf berhampiran mereka sambil sama-sama mengikut bacaan mutawwif mereka. J
                Usai 7 pusingan tawaf mengelilingi Baitillahi haram, saya dan adik menuju ke belakang Hijr Ismail untuk solat sunat. Alhadulillah berjumpa kembali dengan sepupu-sepapat serta Ayah Teh dan Mak Teh serta Ayah Chik. Tapi mak ayah sendiri dan adik beradik lain tak jumpa pula. Setelah menaiki beberapa ekskalator, akhirnya kami tiba di kawasan saie. Ketika saie, keadaan lebih lenggang. Suasana juga lebih dingin kerana terdapat pendingin hawa serta kipas. Walaupun jarak antara bukit Safar dan Marwah agak jauh, dan 7 kali saie agak memenatkan, tetapi ketenangan tetap terasa. Setelah cukup bersaie 7 kali dan beberapa kali hampir dilanggar oleh lelaki yang sedang berlari-lari anak antara dua lampu hijau(sunat saie). Akhirnya kami bergunting, maka selesai jualah ibadat umrah pertama atau ibadat umrah wajib saya. Alhamdulillah.jam 3 pagi ketika itu, kami pun duduk di atas sebahagian bukit Marwah yang masih ada di situ. Memperoleh barakah dari peristiwa Siti Hajar dan merupakan sunat selepas saie. Memperingati peristiwa Rasulullah di-bash oleh Abu Jahal sewaktu menyebarkan risalah Tauhid.
                Malam kedua, selepas balik dari solat Isya’ emak mengajak saya ke Dataran Haram untuk mengambil air zam-zam. beliau terlupa membawa botol air semasa pergi menunaikan solat Isya. Sebenarnya saya sudah sedia maklum bahawa hotel yang diduduki berhampiran dengan Menara Jam. Namun malam itu, Menara Jam dan Bangunan bersebelahannya amat indah. Lebih-lebih lagi Masjid Haram. Rasa sebegitu kerdil diri ini apabila berada diantara Masjid Haram dan Menara Jam
                Penghulu segala hari, Jumaat bersamaan dengan 21 Mac, saya diserang demam panas. Mungkin kerana terlalu kerap mandi dan makan aiskrim dan air sejuk(kedai aiskrim bersebelahan dengan hotel). Petang tu, Haji Nasir, anak pasangan dari Kelantan yang dilahirkan di Tanah Arab merangkap petugas Rayhar membawa saya ke Klinik Al-Faraj. Setelah diperiksa, dan mendapat dua suntikan sampai ke hari ini terasa sakitnya, kebetulan, telah masuk waktu Maghrib, 6:30 petang. Langsung terlihat seorang pekerja pembersihan menghamparkan karpet dan bersolat secara berjemaah di ruangan kosong di hadapan kaunter klinik. Allahu.. Keesokan harinya, kami menuju ke Masjid Hudaibiyah untuk berniat umrah sunat dan seterusnya ke Ladang Unta. Terdapat juga majikan di sana yang menjual susu unta berharga SR5 dan air kencing unta berharga SR20. Banyak fadilat kedua-dua minuman tersebut. Ya, air kencing unta merupakan minuman untuk mengubati sesetengah penyakit.(rujuk peristiwa Yahudi yang memeluk Islam setelah sembuh daripada penyakit mata)
                Hari seterusnya,demam menjenguk kembali. Ayah Teh yang baru kebah dari demam(Ayah Teh telah ke Mekah 4 kali dan tertanya-tanya bagaimana badannya masih belum imun terhadap pathogen disini) menyarankan saya agar mandi dengan air zam zam. Dibuatnya kakak saya ambil air zam zam yang telah disejukkan(80% air zam-zam di sekitar/dalam Masjid Haram adalah telah disejukkan). Menggigil saya tengah hari tu sebelum dikejarkan ke Ajyad Emergency Hospital. Suhu ketika itu 39.5 darjah dan jururawat membasahi kepala dan kaki saya dengan kapas berais dan dimasukkan 2 botol cecair intavena. Selepas hampir 2 jam, saya di-discharged. Teringat akan mukadimah antara saya dengan doctor saya “Your name is Siti, right? My name is Islam. You can call me Sister Islam.” SubhanaAllah, ramah sungguh bangsa Arab ini! Walaupun bangsa Arab dikenali sebagai bangsa yang keras kepala dan kurang sabar, layanan yang diberikan adalah tanpa mengira bangsa dan pangkat beliau, sungguh menjelaskan betapa indahnya ukhuwah dari sudut Islam. Ada sekali, wanita Arab lalu di hadapan katil saya. Tak semena-mena beliau mengucapkan salam sambil menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan saya. Cara menunjukkan keramahan mereka barangkali. Yelah, wanita Arab memakai niqab, kalau dah pakai niqab, kalau diorang senyum, mana nampak. Yang menariknya, hospital di Arab Saudi percuma walaupun kepada bukan warganegara dan doctor di hospital kerajaan amatlah peramah berbanding di klinik swasta!
                Hari terakhir. Dua jam sebelum Zohor. Masa tu semua orang ceria tetapi masing masing tahu betapa hati tidak ingin meninggalkan Tanah Haram ini. Mak Teh cakap, kalau tak larat, tak payah tawaf. Dikira uzur. Selepas kebah demam kali kedua, saya loya dengan nasi arab dan makanan Indonesia. Nak pergi ke menara Zam-Zam, masakan Melayu, tak mampu. Tek Tarik pun dah SR7 secawan! Cuma makan ayam yang digoreng Kentucky bersama sos yang dibawa emak dan jus buah yang dibeli ayah serta buah-buahan. Kadangkala takjub dengan emak macam mana boleh terfikir untuk membawa sos dari Malaysia dan sos amatberguna untuk menaikkan selera masa tu. Itulah seorang ibu J Hati ni duk asyik berdoa masa tawaf nanti tak tumbang. Jikalau tumbang, alamatnya dipijak orang yang sedang tawaf. Patutlah Hospital dekat sangat dengan Haram. Petugas-petugas Rayhar mengedarkan kerusi roda bagi sesiapa memerlukan. Teringat akan Fatin dan Faiz, sepupu yang berusia 9 dan 11 tahun, main kerusi roda Tok masuk dan keluar lif. Akibatnya, lif tersebut tidak boleh naik dan turun. Tiba tiba, petugas hotel datang dan marah- marah dengan bahasa yang tidak difahami. Dek kerana takut, Fatin tertinggal kerusi roda tok ke dalam lif dan lif telah tertutup lalu mereka berdua lari masuk kedalam bilik kerana ketakutan. Tinggalah saya seorang dihadapan lif dan petugas hotel memarahi saya. Disebabkan saya tak faham apa yang diperkatakan oleh petugas tersebut, saya hanya gelak dan memandang dia sehingga dia beredar.
                Sungguhlah, hati merintih tidak mahu meninggalkan Kota Makkah ketika tawaf Wada’. Walaupun ketika itu di baru sahaja usai solat Zohor dan matahari terang benderang di atas, memberi sinar dan kehangatan, mata tidak mahu lepas dari memandang ke arah Kaabah. Teringat akan  bangsa arab yang baik hati, menyediakan cawan plastik berserta air zam-zam sambil berdiri di celah-celah umat manusia yang sedang tawaf. Menghulurkan kepada mereka yang haus. SubhanaAllah. Banyaknya pahala beliau!
Ketika di Masjid Haram, melihatkan semua manusia tanpa mengira warna, bangsa, mazhab dan darjat bersama-sama berkongsi satu akidah iaitu Lailahaillah membuatkan saya berasa bersyukur atas nikmat dilahirkan dalam keluarga Islam.Tempat-tempat yang dilawati sepanjang di sana amatlah menginsafkan diri ini. Lebih lebih lagi peristiwa Hijrah di mana Asma’ yang sedang sarat mengandung berjalan sebegitu jauh ke gua Thur untuk menghantar makanan. Sudahlah  Gua tersebut terletak nun di puncak bukit dan jalan berliku-liku. Sebuah pengorbanan yang pastinya akan diberi ganjaran yang besar!

No comments:

Post a Comment